Kakitangan Sabah/Sarawak patut diberi elaun COLA (Cost of living Assistance)
Elaun COLA (Cost Of Living Assistance) mula diperkenalkan kerajaan pada tahun 1970an dahulu, pernah diberhentikan dan diperkenalkan semula pada tahun 2012 melalui pekeliling JPA ini.
Walau bagaimanapun, kakitangan Sabah/Sarawak tidak diberikan Elaun Cola dengan alasan kakitangan Sabah/Sarawak atau kakitangan yang berasal dari Semenanjung Malaysia tetapi berkhidmat di Sabah/Sarawak telah diberikan Elaun Insentif Wilayah.
Isu ini sudah dibangkitkan sejak beberapa tahun yang lalu sama ada oleh parti pemerintah mahupun parti pembangkang di Sabah, tetapi masih tidak ada keputusan sama ada telah disampaikan atau tidak kepada pihak JPA.
Baru-baru ini, dalam satu perbincangan dengan kakitangan kerajaan di Sabah, mereka meminta saya menulis perkara ini, kerana mereka berasa tidak adil. Sudah tentu saya mesti menulisnya, kerana saya mesti menyuarakan isu ini supaya pihak Cuepacs sedar dan pihak kerajaan pun akan mengetahuinya. Jika saya tidak menulisnya bermakna saya tidak berlaku amanah kepada YAB Perdana Menteri yang perlu mengetahui isu ini.
Kita tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat, kerana kesan teknik bertahan yang dilakukan oleh David Moyes di Manchester United akhirnya memakan diri, di mana Moyes disingkirkan dan Manchester United gagal ke perlawanan kelab Juara-Juara Eropah. Kita tidak mahu isu ini dimanupulasi oleh pihak pembangkang dengan cara yang buruk seperti demontrasi.
Sebagaimana kata YAB Perdana Menteri kita, kita mesti ke depan menyelesaikan masalah, bukan di belakang menunggu masalah.
Saya berharap pihak Cuepacs terutamanya, supaya mengambil perhatian yang berat tentang isu ini kerana harus diingat kakitangan kerajaan di Sabah/Sarawak adalah penyokong tegarkerajaan persekutuan sejak sekian lama.
Pihak Cuepacs harus keluar dari kepompong lama, janganlah hanya memohon bonus setiap kali Bajet diumumkan kerana kita semua tahu Kerajaan kita pasti akan memberinya. Sejak sekian lama, sama ada semasa senang atau susah, kerajaan kita sentiasa memberikan bonus ataupun bantuan setiap kali pembentangan Bajet. Jadi Cuepacs tidak perlu lagi mengejar populariti ini.
Pihak Cuepacs janganlah hanya kelihatan memperjuangkan kakitangan kerajaan 'orang semenanjung' sahaja kata mereka. Perasaan-perasaan seperti ini hendaklah dihapuskan kerana sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, YAB Dato' Seri Najib tidak pernah membeza-bezakan rakyatnya. Malah beliau tegas berkata, "every single person" sangat penting kepadanya. Malahan YAB Dato' Seri Najib sendiri memberitahu bahawa segala keperluan rakyat Sabah dan Sarawak mesti diberi perhatian serius.
Di dalam hal ini, kita tidak boleh salahkan JPA sebaliknya pihak kesatuan sekerjalah yakni Cuepacs perlu ke depan untuk meyakinkan pihak JPA mengapa kakitangan Sabah/Sarawak atau Semenanjung yang berkhidmat di Sabah/Sarawak perlu menerima juga Elaun Cola.
Jika Cuepacs tidak ada kertas kerja mengenai perkara ini bagaimana JPA hendak memahami emosi mereka? Semalam sahaja di Dewan Negara sudah ada isu-isu emosi kakitangan awam dibangkitkan. Jika Cuepacs tidak pernah menyuarakan hal ini kepada YAB Perdana Menteri, bagaimana Perdana Menteri boleh tahu perasaan kakitangan Sabah/Sarawak? Jika saya tidak menulisnya pula, saya akan menjadi orang yang tidak sensitif dan tidak membantu kerajaan kerana hanya berdiam diri. Sedangkan kerajaan perlu tahu isu ini.
Dalam laman rasmi Cuepacs, saya mendapati mereka ada menyentuh tentang Elaun Cola tetapi hanyalah tuntutan kenaikan daripada RM300 kepada RM450 dan tuntutan supaya diselaraskan tanpa mengira kawasan luar bandar dan bandar. Amat malang sekali, Cuepacs langsung tidak berminat untuk memperjuangkan Elaun Cola kepada kakitangan Sabah/Sarawak ataupun kakitangan Semenanjung Malaysia yang berkhidmat di Sabah/Sarawak. Mereka bertanya saya, apakah perjuangan Cuepacs hanya untuk kakitangan orang Semenanjung Malaysia sahaja?\
Baca Selanjutnya : http://www.al-azharrisiddiq.com
Thank you for reading this entry :)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan