Rabu, 3 Ogos 2016

Emas dijangka cecah RM503 satu gram

Emas dijangka cecah RM503 satu gram


STANDARD Chartered Bank mengunjurkan harga emas bakal mencecah AS$5,000 seauns atau kira-kira AS$160 (RM503) satu gram menjelang 2020, disokong permintaan kukuh dari China dan India.
Ketua Penyelidik Global Komoditinya, Hsi Han Pin berkata ada kaitan ketara antara pendapatan isi rumah di China dan India dengan harga emas kerana sebarang peningkatan pendapatan boleh guna di dua negara pembeli emas utama dunia itu akan mendorong peningkatan permintaan bagi logam berharga berkenaan.
Beliau berkata, langkah bank pusat seluruh dunia mengumpul emas bagi mempelbagaikan rizab masing-masing juga membantu melonjakkan harga logam berharga itu untuk terus kekal tinggi.
“Kebimbangan terhadap krisis hutang Eropah dan pertumbuhan perlahan ekonomi Amerika Syarikat (AS) akan terus menggalakkan pelabur dan bank pusat membeli emas,” katanya pada siri taklimat penyelidikan global 2012 di Kuala Lumpur semalam.
Hsi menambah, harga emas juga akan disokong persekitaran kadar faedah sebenar yang negatif apabila banyak bank pusat dijangkakan menurunkan kadar faedah atau mengekalkannya pada paras terendah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara masing-masing.
Sepanjang 2011, harga emas meningkat 10 peratus dengan mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada AS$1,920.30 seauns atau AS$61 (RM194) satu gram September lalu berikutan kebimbangan krisis hutang di Eropah dan pertumbuhan perlahan ekonomi AS.
Bagaimanapun, pada Disember lalu, harganya jatuh mendadak berikutan pengukuhan dolar AS dan penjualan berterusan oleh dana lindung nilai.
Pada dagangan semalam, harga emas meningkat 11 sen kepada RM159.93 satu gram.
Mengenai ekonomi Malaysia, Ketua Penyelidik Asia Tenggara Standard Chartered Bank, Tai Hui mengunjurkan ekonomi negara ini akan berkembang 2.7 peratus tahun ini berbanding 4.8 peratus tahun lalu berikutan ketidaktentuan ekonomi global.
Katanya, sektor komoditi akan menjadi pemangkin utama yang menentukan pertumbuhan tahun ini, sama seperti tahun lalu dengan minyak sawit, getah dan gas asli cecair menyumbang 70 peratus kepada pertumbuhan lapan peratus eksport Malaysia dalam tempoh sembilan bulan tahun lalu.
Beliau berkata, harga komoditi juga memainkan peranan penting dalam perbelanjaan penduduk Malaysia terutama di kawasan kampung.
“Harga komoditi yang tinggi akan membantu ekonomi domestik berdepan dengan ketidaktentuan di pasaran global,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan harga CPO akan berada pada paras RM3,450 setan tahun ini, meningkat daripada RM3,216 setan tahun lalu.
Tai berkata, inflasi dijangka berkurangan kepada 2.6 peratus tahun ini berbanding 3.3 peratus lalu berikutan kestabilan harga komoditi dan makanan.
Beliau berkata pihaknya juga mengunjurkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 0.5 peratus tahun ini, bermula dengan pengurangan 0.25 peratus pada Mac ini.
Bank itu mengunjurkan ringgit akan mencecah paras RM3.03 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini, disokong harga komoditi yang kukuh.

Sumber :hargaemas


Thank You for Reading this entry :)

Rabu, 4 Mei 2016

Terbiasa Ucap Bahasa Tempatan (Iban) - Najib

Terbiasa Ucap Bahasa Tempatan (Iban)



Saratok: Selepas hampir seminggu berkampung di negeri ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah mula membiasakan dirinya untuk memulakan ucapan dalam bahasa tempatan.
Ketika program tinjauan mesra di Dataran Bandar Saratok di sini, semalam, Perdana Menteri bertanya khabar dan memperkenalkan dirinya menggunakan bahasa Iban.
“Nama berita kitak...aku tok Najib Razak, apai besai kitak (Apa khabar anda, saya Najib Razak pemimpin anda),” katanya ketika berucap sambil disambut sorakan lebih 2,000 penduduk yang hadir.
Turut mengiringi beliau calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka Datuk Wahab Aziz dan calon baru BN kerusi DUN Krian Kilat Beriak.
Najib memberi jaminan kedua-dua calon ditampilkan BN di kawasan Parlimen Saratok itu mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.
“Datuk Wahab tidak perlu kita perkenalkan lagi kerana beliau sudah cukup lama mewakili kawasan Kalaka dan perkhidmatannya sudah terbukti.
“Saya juga memberi jaminan Kilat mampu melaksanakan tanggungjawab untuk rakyat di kawasan Krian yang sebelum ini dikuasai pembangkang,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan pembangunan infrastruktur di Sarawak, namun saiz negeri ini yang amat luas menyukarkan kemudahan asas disediakan dalam tempoh singkat.
“Kerajaan menyalurkan peruntukan berbilion ringgit untuk menyediakan pelbagai kemudahan asas di Sarawak dan ia memerlukan masa sehingga 10 tahun untuk dilaksanakan secara menyeluruh.
“Sebab itu, berilah sokongan kepada calon daripada parti yang berkemampuan untuk menyediakan kemudahan itu, bukan calon individu atau dari parti yang hanya mahu menang pilihan raya saja,” katanya.
Dalam ucapan singkat itu, beliau turut mengumumkan peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM90 juta untuk melaksanakan pembinaan jambatan Sungai Krian bagi menghubungkan Saratok dengan Kampung Kupang serta pembinaan jalan sepanjang 18 kilometer dari simpang Jalan Bajau.


Sumber :HarianMetro


Thank you for reading this entry :0

Selasa, 3 Mei 2016

"Robin Hood" Hamza dipenjara. Hero atau Penjenayah? Baca Selanjutnya..

Hamza didapati bersalah dan dipenjarakan!!!


Pengodam terkenal dari Algeria dan juga seorang pembuat virus "malicious SpyEye malware" telah menerima hukuman 15 tahun penjara dan 3 tahun permerhatian selepas keluar penjara. Keputusan itu telah diputuskan oleh Mahkamah Amerika Syarikat ke atas Hamza Bendelladj. Hamza dijatuhkan hukuman atas kesalahan terlibat dalam membuat dan menyebarkan virus tersebut.

Hamza, 27 telah didapati bersalah atas kesalahan mengodam perisian bank dan memindahkan kesemua wang yg terdapat dalam akaun di dalam bank tersebut. Dia dijatuh hukuman penjara selama 60 tahun dan saman bernilai 24 Million dollar

Menurut Jay L.Strongwater of Atlanta kepada Al-Jazeera, Hamza mengaku bersalah dan akan bertanggungjawab atas setiap kesalahan yang dilakukan.
Jumlah nilai wang yang digodam oleh Hamza adalah sebanyak 100 million dolar

Hamza dan rakannnya dari Russsia, Aleksandr Andreevich Panin telah menggodam perisian komputer dan telah mencuri semua duit dalam akaun bank peribadi dan institusi lain. Mereka telah meletak virus ke dalam berjuta juta komputer di Ameriak Syarikat.

Rakannya, Panin juga didapati bersalah atas kesalahan yang sama keatas Hamza dan akan menjalani hukuman penjara selama 9 tahun dan 6 bulan di penjara dan seterusnya 3 tahun pemerhatian dari pihak penjara.

Hamza ditahan di Thailand pada tahun 2013 oleh FBI. Beliau dalam perjalanan dari Malaysia ke Algeria dan transit di Thailand. Selepas di tahan di Thailand, Hamza terus dibawa ke Amerika Syarikat.
Dikabarkan wang yang dicuri dari akaun bank tersebut telah diberi kepada negara Palestine. Hamza seperti dalam cerita "Robin Hood" dimana mencuri untuk membantu orang yang dalam kesusahan. Akan tetapi memang cara Hamza ini satu kesalahan sebab ada kata kata ilmuan islam memberitahu bahawa 'Niat tidak menghalalkan cara'. 

Walaubagaimanpun, tindakan Hamza ini perlu diberi kepujian kerana belia semuda Hamza ini mampu mengegarkan  perbankan Amerika Syarikat yang terkenal dengan negara "Veto" dalam segala bidang.

Jadikan keberanian Hamza sebagai pencetus semangat kita semua.- TehMalay.com


Thank you for reading this entry :)



Leicester City lakar Sejarah !!!

Leicester City lakar Sejarah !!!


LONDON: Pemain gantian Chelsea, Eden Hazard meledak gol penyamaan Chelsea untuk mengikat Tottenham Hotspur 2-2, awal pagi tadi, sekali gus membolehkan Leicester City mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris buat kali pertama sejarah kelab itu. 

Ketika pemain Leicester berkumpul di rumah penyerangnya, Jamie Vardy untuk menyaksikan perlawanan itu, jaringan Harry Kane dan Son Heung-Min di Stamford Bridge pada awalnya seakan-akan menangguhkan lagi Leicester untuk mendakap trofi kejuaraan. Namun selepas Gary Cahill merapatkan perbezaan gol untuk jaringan pada minit ke-58, Hazard yang mendapat hantaran Diego Costa melakukan rembatan terus pada minit ke-83 untuk jaringan penyamaan. 

Ia sekali gus menggembirakan penyokong Leicester serta jutaan peminat baharunya di seluruh dunia. Skuad kendalian Claudio Ranieri yang hampir tersingkir musim lalu, kini menanti saat untuk meraikan kejayaan itu di Stadium King Power apabila bertemu Everton, Sabtu ini namun sebarang keputusan tidak lagi menggugat Leicester. 

Bagi skuad Spurs kendalian Mauricio Pochettino, mereka memerlukan kemenangan di Stamford Bridge dan dua lagi perlawanan terakhir mereka untuk menyaingi Leicester bagi merebut kejuaraan EPL selepas kali terakhir pada 1961. Namun, keputusan terikat 1-1 dengan West Bromwich Albion sebelum ini seakan-akan memberi petanda saingan mereka hampir berakhir. Ranieri, jurulatih berusia 64 tahun dari Itali, sebelum ini tidak pernah memenangi kejuaraan EPL dan pernah dipecat Chelsea pada 2004.




Thank you for reading this entry:)



Catur "Haram" -Mufti Arab Saudi. Baca lagi...

Mufti Arab Saudi mengaramkan permainan catur



ARAB SAUDI - Mufti Arab Saudi telah mengisytiharkan bahawa permainan catur diharamkan, sebelum bermulanya kejohanan catur di Mekah. 

Menurut Abdul-Aziz bin Abdullah, permainan purba yang dikatakan berasal dari India pada abad keenam itu adalah membuang masa.

"Permainan catur adalah permainan yang membazir masa dan peluang untuk mensia-siakan wang. Ia boleh menyebabkan permusuhan dan kebencian di antara rakyat," katanya. 

Sesetengah media antarabangsa tersilap melaporkan bahawa negara itu telah mengharamkan permainan catur. Bagaimanapun, mufti berkenaan menyatakan bahawa pengumumannya itu tidak membawa pada penguatkuasaan undang-undang. 

Sumber:THEHYPEMEDIA


Thank you for reading this entry :)

Beratnyaa, bayi "Gergasi" 5.9kg. Baca selanjutnya.....

Wanita lahir bayi seberat "5.9kg"



Perth: Seorang ibu di sini terkejut selepas melahirkan ‘bayi gergasi’ seberat hampir 6 kilogram, sekali gus menjadi antara bayi terberat pernah dilahirkan di Australia.
Breanna Sykes selamat melahirkan bayi lelaki seberat 5.9 kilogram melalui pembedahan di Kampus Kesihatan Joondalup di sini, pada petang Sabtu lalu.
Breanna berkata, pada mulanya doktor berusaha membantunya melahirkan bayi itu secara normal tetapi gagal selepas mendapati anaknya itu terlalu besar.
Katanya, doktor sebelum ini menjangkakan bayinya hanya seberat empat kilogram tetapi tidak menyangka anaknya itu membesar sehingga hampir enam kilogram.
Berat purata bayi dilahirkan di Australia adalah tiga kilogram.
“Selepas beberapa jam berusaha melahirkan anak saya secara normal, doktor akhirnya mengambil keputusan untuk membuat pembedahan selepas mendapati bayi ini terlalu besar.
“Doktor bimbang tulang pelvis saya mungkin akan patah jika saya melahirkan bayi ini secara normal,” katanya.
Ujarnya, selepas pembedahan dia terkejut apabila mendapati bayinya itu sangat besar.
“Doktor juga terkejut kerana dia tidak pernah menyambut bayi sebesar itu sepanjang 15 tahun dia bertugas sebagai doktor,” jelasnya.
Menurutnya, anak sulungnya itu dalam keadaan sihat dan doktor memberitahu keadaan bayinya yang besar adalah berpunca daripada faktor genetik.

Sumber:HarianMetro



Thank you for reading this entry :)

Siapa Dr Mundzir Abdullah & Bagaimana dia mendapat PHD semuda itu. Baca Selanjutnya...

Penerima PhD (Fizik) termuda dari UTM- Dr Mundzir Abdullah



Pendidikan awal
Dr Mundzir memulakan persekolahannya di Sekolah Kebangsaan Kangkar Pulai sehingga menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2003 dengan keputusan 4A 1B. Beliau kemudian meneruskan pengajian menengah rendah di Sekolah Menengah Kebangsaan Kangkar Pulai sehingga Tingkatan Tiga.  Dengan keputusan yang amat cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) iaitu 8A, Dr Mundzir telah diterima untuk meneruskan pengajian di Tingkatan Empat di Maktab Rendah Sains MARA, (MRSM) Mersing pada tahun 2007. Pada tahun berikutnya, Dr Mundzir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan mendapat keputusan 8A1 2A2.
Sebaik sahaja tamat menduduki SPM, Dr Mundzir ditawarkan untuk mengikuti Program Ekspress UTM-MARA selama enam bulan di UTM Johor Bahru bermula dari Januari 2009 hingga Jun 2009. Pada sesi kemasukan pelajar Sarjana Muda UTM pada bulan Jun 2009, Dr Mundzir mendaftar masuk sebagai mahasiswa tahun satu kursus Sarjana Muda Sains (Fizik) di Jabatan Fizik, Fakulti Sains.
Program ‘fast track’
Pada tahun 2012 beliau meneruskan kecemerlang akademik dan menamatkan pengajian peringkat Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama. Dr Mundzir seterusnya menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Fizik pada tahun yang sama di bawah program ‘Fast Track’. Dr Mundzir adalah penerima biasiswa MyPhD, Kementerian Pendidikan Tinggi sepanjang pengajian beliau selama tiga tahun di UTM.
Bidang penyelidikan pada peringkat PhD beliau adalah bidang aplikasi laser dengan tajuk tesis “Laser Surface Alloying Aluminium with Iron using a Q-switched Nd:YAG Laser: Characterization and Optimization” di bawah seliaan Prof. Dr. Noriah Bidin di Pusat Laser, Ibnu Sina Institute for Scientific & Industrial Research (ISI-SIR), UTM.
Dalam kajian mereka untuk teknik pengaloian permukaan dengan laser, mereka berjaya memperkenalkan teknik baharu dalam penentuan kondisi optimum bagi beberapa parameter pemprosesan. Sepanjang pengajian beliau di peringkat Doktor Falsafah, Dr Mundzir telah berjaya menerbitkan lebih dua puluh kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dr Mundzir juga aktif dalam menyertai pameran penyelidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, selain dari pembentangan kertas kerja dalam persidangan yang berkaitan dengan bidang beliau.
Selain dari bidang akademik, Dr Mundzir juga turut terlibat sebagai ahli jawatankuasa pelaksana dan fasilitator bagi pelbagai seminar, bengkel dan persidangan anjuran Pusat Laser, UTM.
Pada 29 April 2015, Dr Mundzir telah disahkan lulus dengan cemerlang dalam Peperiksaan Lisan dengan memperolehi keputusan ‘A,  beliau juga dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dalam tempoh 33 bulan pengajian (GOT) pada usia 23 tahun 5 bulan. Beliau telah dianugerahkan Anugerah Pro Canselor pada Majlis Konvokesyen UTM ke 55.

Sumber:MajalahSains


Thank you for reading this entry :)

Gaji minimum RM1,000 di Semenanjung, RM920 di Sabah/Sarawak mulai 1 Julai- Richard

Gaji minimum RM1,000 di Semenanjung, RM920 di Sabah/Sarawak/ Labuan mulai 1 Julai


Perintah Gaji Minimum 2016 (PGM 2016) akan berkuat kuasa mulai 1 Julai tahun ini ke atas semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.Beliau berkata perintah tersebut melibatkan semua pekerja di sektor swasta kecuali pekhidmatan domestik (pembantu rumah) sebagaimana yang terkandung dalam PGM 2012.


"Kerajaan telah meneliti semua syor yang telah dikemukakan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara dan telah mengambil pendekatan 'balanced approach'serta mempertimbang kepentingan kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja," katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.


Jelasnya melalui PGM 2016, kadar gaji minimum ditetapkan mengikut wilayah iaitu RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan," katanya.Beliau berkata bagi gaji minimum harian pula ia tertakluk kepada jumlah jam bekerja maksimum seminggu iaitu 48 jam bagi Semenanjung Malaysia.


"Untuk enam hari bekerja dalam seminggu, kadar gaji minimum harian adalah RM38.46, (lima hari/seminggu, RM46.15) dan (empat hari/seminggu, RM57.69)," katanya.Bagi kawasan Sabah, Sarawak dan Labuan pula untuk enam hari bekerja dalam seminggu, gaji minimum harian adalah RM35.38, (lima hari/seminggu, RM42.46) dan (empat hari/seminggu, RM53.08), katanya.Riot berkata bagi pekerja yang dibayar berdasarkan upah mengikut kerja, berat tan, tugasan, perjalanan atau komisen, kadar gaji bulanan yang perlu dibayar hendaklah tidak kurang daripada RM1,000 di Semenanjung Malaysia dan RM920 di Sabah, Sarawak dan Labuan.


Lonjak pendapatan negara
Dalam pada itu, katanya klausa berhubung Permohonan Penundaan, Rundingan bagi Penstrukturan Semula Gaji dan Pengurangan Kadar Gaji Minimum bagi pekerja dalam tempoh percubaan yang ada dalam PGM 2012 tidak ditetapkan bagi PGM 2016."Bagi pekerja-pekerja yang masih menjalani tempoh percubaan melangkau tarikh 1 Julai 2016, tiada pengurangan kadar gaji minimum dibenarkan bagi pekerja-pekerja yang masih dalam tempoh percubaan tersebut mulai 1 Julai 2016," katanya.Oleh yang demikian, jelasnya garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara pada 6 Sept 2012 selaras dengan penguatkuasaan PGM 2012 adalah dimansuhkan dengan berkuatkuasanya PGM 2016 mulai 1 Julai 2016."Kerajaan berharap kadar gaji minimum baharu ini akan mampu melonjakkan pendapatan pekerja Malaysia sekaligus dapat membantu meningkatkan ekonomi negara dalam mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020," katanya.Sesalinan perintah tersebut boleh diperoleh dalam laman sesawang Kementerian Sumber Manusia iaitu www.mohr.gov.my.-Bernama


Sumber :Malaysia Kini

Thank you for reading this entry :)

Isnin, 2 Mei 2016

Rupanya Kakitangan Sabah/Sarawak tidak diberi elaun Cola. Baca lagi.....

Kakitangan Sabah/Sarawak patut diberi elaun COLA (Cost of living Assistance)


Elaun COLA (Cost Of Living Assistance) mula diperkenalkan kerajaan pada tahun 1970an dahulu, pernah diberhentikan dan diperkenalkan semula pada tahun 2012 melalui pekeliling JPA ini.

Walau bagaimanapun, kakitangan Sabah/Sarawak tidak diberikan Elaun Cola dengan alasan kakitangan Sabah/Sarawak atau kakitangan yang berasal dari Semenanjung Malaysia tetapi berkhidmat di Sabah/Sarawak telah diberikan Elaun Insentif Wilayah.

Isu ini sudah dibangkitkan sejak beberapa tahun yang lalu sama ada oleh parti pemerintah mahupun parti pembangkang di Sabah, tetapi masih tidak ada keputusan sama ada telah disampaikan atau tidak kepada pihak JPA.

Baru-baru ini, dalam satu perbincangan dengan kakitangan kerajaan di Sabah, mereka meminta saya menulis perkara ini, kerana mereka berasa tidak adil. Sudah tentu saya mesti menulisnya, kerana saya mesti menyuarakan isu ini supaya pihak Cuepacs sedar dan pihak kerajaan pun akan mengetahuinya. Jika saya tidak menulisnya bermakna saya tidak berlaku amanah kepada YAB Perdana Menteri yang perlu mengetahui isu ini. 

Kita tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat, kerana kesan teknik bertahan yang dilakukan oleh David Moyes di Manchester United akhirnya memakan diri, di mana Moyes disingkirkan dan Manchester United gagal ke perlawanan kelab Juara-Juara Eropah. Kita tidak mahu isu ini dimanupulasi oleh pihak pembangkang dengan cara yang buruk seperti demontrasi. 

Sebagaimana kata YAB Perdana Menteri kita, kita mesti ke depan menyelesaikan masalah, bukan di belakang menunggu masalah.

Saya berharap pihak Cuepacs terutamanya, supaya mengambil perhatian yang berat tentang isu ini kerana harus diingat kakitangan kerajaan di Sabah/Sarawak adalah penyokong tegarkerajaan persekutuan sejak sekian lama. 

Pihak Cuepacs harus keluar dari kepompong lama, janganlah hanya memohon bonus setiap kali Bajet diumumkan kerana kita semua tahu Kerajaan kita pasti akan memberinya. Sejak sekian lama, sama ada semasa senang atau susah, kerajaan kita sentiasa memberikan bonus ataupun bantuan setiap kali pembentangan Bajet. Jadi Cuepacs tidak perlu lagi mengejar populariti ini.

Pihak Cuepacs janganlah hanya kelihatan memperjuangkan kakitangan kerajaan 'orang semenanjung' sahaja kata mereka. Perasaan-perasaan seperti ini hendaklah dihapuskan kerana sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, YAB Dato' Seri Najib tidak pernah membeza-bezakan rakyatnya. Malah beliau tegas berkata, "every single person" sangat penting kepadanya. Malahan YAB Dato' Seri Najib sendiri memberitahu bahawa segala keperluan rakyat Sabah dan Sarawak mesti diberi perhatian serius.

Di dalam hal ini, kita tidak boleh salahkan JPA sebaliknya pihak kesatuan sekerjalah yakni Cuepacs perlu ke depan untuk meyakinkan pihak JPA mengapa kakitangan Sabah/Sarawak atau Semenanjung yang berkhidmat di Sabah/Sarawak perlu menerima juga Elaun Cola. 

Jika Cuepacs tidak ada kertas kerja mengenai perkara ini bagaimana JPA hendak memahami emosi mereka? Semalam sahaja di Dewan Negara sudah ada isu-isu emosi kakitangan awam dibangkitkan. Jika Cuepacs tidak pernah menyuarakan hal ini kepada YAB Perdana Menteri, bagaimana Perdana Menteri boleh tahu perasaan kakitangan Sabah/Sarawak? Jika saya tidak menulisnya pula, saya akan menjadi orang yang tidak sensitif dan tidak membantu kerajaan kerana hanya berdiam diri. Sedangkan kerajaan perlu tahu isu ini.

Dalam laman rasmi Cuepacs, saya mendapati mereka ada menyentuh tentang Elaun Cola tetapi hanyalah tuntutan kenaikan daripada RM300 kepada RM450 dan tuntutan supaya diselaraskan tanpa mengira kawasan luar bandar dan bandar. Amat malang sekali, Cuepacs langsung tidak berminat untuk memperjuangkan Elaun Cola kepada kakitangan Sabah/Sarawak ataupun kakitangan Semenanjung Malaysia yang berkhidmat di Sabah/Sarawak. Mereka bertanya saya, apakah perjuangan Cuepacs hanya untuk kakitangan orang Semenanjung Malaysia sahaja?\


Baca Selanjutnya : http://www.al-azharrisiddiq.com


Thank you for reading this entry :)

Bumiputera boleh bantu BN rampas 3 DUN Miri- Adenan

Bumiputera boleh bantu BN rampas 3 DUN Miri



Barisan Nasional (BN) boleh memenangi ketiga-tiga kerusi bandar Cina di kawasan Miri, jika semua Bumiputera mengundi parti pemerintah, kata ketua menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem.
"Jangan pecahkan undi Bumiputera. Jika semua Bumiputera sokongan BN, kita akan menang di Piasau, Pujut dan Senadin.
"Ini perkiraan saya," ujar Adenan di Miri, hari ini.
Adenan menambah, undi masyarakat Melayu yang bersatu mampu memastikan kemenangan BN walaupun undi masyarakat Cina terpecah.
Beliau berucap semasa perhimpunan di hotel, dengan lebih 1,000 orang memakai baju biru BN atau kuning untuk SUPP bagi menemu beliau.
Turut hadir ialah calon BN untuk DUN Piasau, Sebastian Ting dan pemenang bertahan Senadin, Lee Kim Shin.
Di Piasau, di mana Alan Ling dari DAP sedang bertahan, 41 peratus pengundi adalah Bumiputera dengan selebih 59 peratus adalah Cina.
Di Pujut, di mana calon langsung BN Hii King Chiong sedang mencabar DAP, PAS dan bebas, 68 peratus pengundi adalah Cina dan 32 peratus adalah Bumiputera.
Senadin, di mana Lee menang dalam pilihanraya lalu dengan hanya majoriti 58 undi, melibatkan 44 peratus pengundi Cina dan 66 peratus Bumiputera.

Sumber :Malaysiakini

Thank you for reading this entry :)

Seram !!! Ini kisah benar Mona Fendi yang ramai tak tahu..Baca Selanjutnya...

Mona Fendi- Ini kisah benar



Husnuzon (bersangka baik) lebih baik..
Pendedahan ‘Cik Jah’ mengenai kehidupan terakhir Mona Fandey dalam penjara..
ANDA kenal dengan nama Maznah Ismail atau lebih mengenalinya dengan nama Mona Fandey?
Kisah Mona menjadi tumpuan di akhbar sejak tahun 1993. Bahkan, ia semakin rancak diperkatakan ramai apabila satu persatu kegiatan jahat pasangan bomoh, Mona dan Affandi sewaktu hidup ketika dahulu didedahkan.
Namun, pernahkah anda terfikir sejauh mana kesahihan cerita yang disebarkan itu?
Adakah anda berani meletakkan jaminan seratus peratus bahawa memang ternyata Mona mati di tali gantung dengan keadaan mengerikan? atau anda lebih percaya pada versi cerita yang kononnya Mona tidak mati biarpun dia telah digantung?
Sejauh mana keyakinan orang ramai percaya 1,001 versi cerita mengenai bekas banduan terakhir di Penjara Wanita Kajang itu?
Membongkar kembali kisah benar Mona di penghujung hidupnya, wartawan Malaysian Digest berjaya menjejaki pegawai penjara yang berpengalaman bertugas di sel akhir Mona sewaktu dia dipenjarakan dahulu.
Satu temubual eksklusif bersama Pegawai Penjara Wanita Kajang, Sarjan Azizah, diatur untuk mendedahkan kepada semua masyarakat Malaysia perihal kehidupan bekas banduan akhir yang selama ini menjadi rahsia hidup wanita berusia 53 tahun itu.
Azizah sedia berkongsi kepada umum sisi-sisi rahsia Mona yang mana dia merasakan satu kenangan manis buat dirinya sepanjang 30 tahun berkhidmat sebagai warden penjara.
“Masa itu saya sedang bercuti tetapi saya dah tahu yang Mona bakal ditempatkan di sel akhir bawah jagaan saya. Kes dia memang cukup gempar pada waktu itu.”
“Saya sangat takut apabila dapat tahu saya akan berjumpa dengan Mona sampaikan saya minta air penawar dekat ustaz,”
“Sel akhir Mona berada paling depan sekali dan tentulah dia orang pertama yang akan saya lalui dulu. Waktu saya melangkah masuk pada hari pertama selepas bercuti, saya dengar ada orang bagi salam.”
“Saya tahu itu Mona. Saya buat tak tahu. Hari kedua dan ketiga pun, saya dengar Mona beri salam lagi tapi tetap saya buat tak tahu,”
“Pada hari keempat apabila dia bagi salam, baru saya jawab salam dia.”
Mona kata antara ramai-ramai staf di penjara, dia paling suka saya. “Saya tanya kenapa?”
Dia jawab “GERAK HATI”
“Saya tak pernah sangka seumur hidup saya, dengan ‘SALAM’ yang diberikan Mona itu telah menjadikan dia seorang SAHABAT saya,” katanya.
Tambahnya, Mona merupakan seorang yang sangat gemar berbual. Tidak pernah kering dengan topik perbualan membuatkan Azizah berasa sangat senang mendengar cerita-cerita daripada Mona.
Malah, Mona sangat suka bercerita mengenai anak-anaknya, bekas suami, suami kini, resepi masakan dan banyak lagi.
Hanya Azizah sahaja yang ketika itu tidak gentar bersua muka dan bertentang mata dengan wanita yang dikatakan memiliki ilmu kesaktian luar biasa itu.


Kebanyakkan kakitangan penjara ketika itu, rata-ratanya berusaha untuk mengelak daripada menguruskan rutin harian Mona kerana bimbang dengan ‘ilmu hitam’ dimilikinya.
“Saya panggil Mona ‘Makcik’ dan dia panggil saya ‘Cik Jah’.
Percaya atau tidak, Mona ni sebenarnya seorang wanita yang sangat menjaga SOLAT 5 WAKTU.
“Bukan itu saja, solat sunat dan wirid juga tidak pernah ditinggalkannya, Setiap hari saya dengar Mona mengaji al-Quran sehingga saya sendiri rasa terpegun.
“Waktu dia baca wirid pula, saya pernah minta dia kuatkan suara kerana saya bimbang dia membaca bacaan yang ‘salah’. Apa yang saya dengar adalah perkataan ‘Subhanallah’ yang tidak berhenti keluar dari mulut Mona,”
“Mona seorang wanita yang sangat sopan apabila bercakap. Dia sangat peramah tetapi masih menjaga adab dalam percakapannya. Sebaik-baik Mona apabila berbual, tidak pernah sekalipun dia bercakap ‘BURUK’ mengenai orang,”
“Walaupun pada ketika itu kakitangan penjara ramai yang mengatanya tetapi Mona sangat sabar dan positif. Tak pernah dia nak membalas atau memburukkan orang,”
“Mona sangat suka berkongsi resepi masakan dengan saya. Dia kata dia suka letak daun pandan dalam masakan sebab akan jadi wangi. Saya nampak dia seorang yang PENYAYANG dan IKHLAS,” katanya.
Pernah beberapa kali Azizah terbaca cerita mengenai Mona di akhbar seperti, Mona terapung di dalam sel, Mona boleh membaca Surah Al-Fatihah dengan terbalik, Mona dilihat keluar dari sel oleh salah seorang kakitangan penjara dan bersiar-siar di Chow Kit dan banyak lagi.
Demi mendapatkan kepastian, Azizah akan terus bertanya kepada Mona mengenai cerita-cerita mistik yang dibacanya.
“Saya suruh Mona apungkan badan dia macam dalam suratkhabar laporkan. Mona kata gila ke apa? Mana dia boleh apungkan diri dia.
“Kemudian saya suruh dia baca Surah Al-Fatihah terbalik. Mona jawab, sedangkan nak baca bismillah terbalik pun susah apatah lagi Surah Al-Fatihah,”
“Paling menarik, saya pernah tanya pada Mona betul ke dia keluar sel dan ke Chow Kit?
Mona jawab, kalau dia boleh keluar sel buat apa dia nak ke Chow Kit? Baik dia balik ke rumah dan tak perlu masuk ke dalam sel lagi.
“Namun, apabila kita fikirkan balik, apa yang dikatakan Mona itu benar. Kalau betul dia ada kuasa yang boleh memboloskan diri dari penjara, lebih baik dia pulang ke rumah dari ke Chow Kit,”
seloroh Azizah sambil tersenyum.
Seketika Azizah terdiam, kemudian menyambung semula ceritanya.
Dia akui terdapat satu cerita di sebalik kes ini yang tidak diketahui umum.
Barangkali yang tahu sekalipun, mereka yang terlibat secara langsung sepanjang tempoh perbicaraan kes pembunuhan Datuk Mazlan ini.
Ujarnya, Mona sering meyakinkannya mengenai kejadian sebenar yang berlaku pada tarikh pembunuhan ahli politik itu dan Azizah akui pada awalnya sukar untuk mempercayai kata-kata Mona.
Namun, ternyata Mona berjaya membuktikan kepada Azizah bahawa dia tidak menipu kerana kenyataannya di penjara dan mahkamah begitu konsisten sekali.


Tiada perubahan cerita, tiada perubahan fakta. Mona kelihatan begitu tenang menghadapi perbicaraan kesnya itu.
Tahukah kita semua bahawa sebenarnya Mona ‘BUKAN’ suspek utama kes pembunuhan Datuk Mazlan Idris?
Dia merupakan OKT-3 (Orang Kena Tuduh Ketiga) manakala dalang sebenar kes pembunuhan ini adalah OKT-1 dan OKT-2 yang merupakan suami Mona sendiri, Affandi dan pembantu peribadi mereka, Juraimi.
Hakikatnya, pada hari kejadian mangsa dibunuh kejam,
Mona sekadar mendapat arahan daripada Affandi untuk keluar memetik bunga sebelum satu upacara mandi bunga bersama mangsa dijalankan.
Mona duduk di atas bahagian kepala mangsa yang berada dalam posisi baring kemudian secara tiba-tiba Juraimi meluru masuk dan… (Azizah terdiam)
“Saya berada sepanjang prosiding mahkamah berlangsung kerana atas permintaan Mona sendiri, dia tidak mahu pegawai lain yang mengiringinya.
“Jadi, tangan saya akan digari bersama tangan Mona ke mana sahaja. Mona telah terbukti tidak bersalah dalam kes pembunuhan ini dan dia telah dibebaskan oleh pihak mahkamah.
“Namun, Mona terpaksa memberi kata dua pula terhadap pembebasannya itu. Jika dia dibebaskan, dia mahu Affandi juga dibebaskan. Jika suaminya digantung, biarkanlah dia digantung bersama Affandi,
“Peguambela Mona juga pernah memujuknya untuk menerima pembebasan itu tetapi tetap ditolak Mona tanpa pembebasan Affandi bersama. Itu pilihan Mona.
“Dia nak bersama suaminya. Saya nampak Mona seorang ISTERI yang sangat BAIK dan SAYANGkan Affandi. Secara jujurnya, selama saya menjaga Mona di sel akhir saya sendiri gagal menemui kejahatan dari dalam dirinya,”
“Saya masih ingat satu cerita dimana orang yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan jenazah Mona selepas digantung menyatakan dia sendiri tidak tahu dimana nak mencari cacat cela pada JENAZAHnya kerana Mona meninggal dengan keadaan sangat BAIK. Tubuh yang bersih dan mudah diuruskan,” ujarnya lagi kepada Malaysian Digest.
Menariknya, bekas suami Mona yang juga merupakan seorang anggota polis tidak pernah terlepas daripada menghadiri perbicaraan kes bekas isterinya itu.
Kehadiran bekas suami Mona tanpa jemu ke mahkamah membuatkan Azizah tertarik untuk mendekati lelaki itu.
Apa yang mengharukan hatinya apabila bekas suami Mona menjawab:
‘Mona nak bunuh semut pun tak sampai hati. Waktu nak siang ikan pun dia menangis, apatah lagi nak kerat manusia.”
Bahkan, anak-anak Mona juga sentiasa hadir dalam perbicaraan ibu mereka sebagai tanda memberi sokongan kepada Mona.
Anak-anak Mona pernah menyatakan bahawa mereka lebih mengenali siapa ibu mereka yang sebenar.
Disitu Azizah mengakui Mona merupakan seorang ibu yang berjaya membentuk keperibadian serta AKHLAK yang tinggi dalam diri anak-anaknya.
Mereka sangat mentaati Mona biarpun ibu mereka itu bakal berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati dan menelan stigma masyarakat kita yang sentiasa negatif sehingga ke hari ini.
Kerana cintakan suami, si isteri mengorbankan kebebasannya biarpun sudah terbukti tidak bersalah.
Begitu juga, kerana kasihkan suami, Mona memilih untuk sehidup semati di tali gantung bersama Affandi.
“Saya pelik macam mana orang luar yang tak pernah masuk penjara, tak pernah jumpa Mona atau menguruskan halnya selama dia dipenjara, lebih banyak bersuara seperti mengetahui segala-galanya berbanding saya yang bersama Mona siang dan malam?
“Saya sampai tarik kerusi duduk depan sel Mona untuk teman dia berbual, orang lain lagi mengetahui selok belok hal Mona?”
“Benda yang paling saya sedih sekali, sehari sebelum Mona digantung saya nampak dia dibawa turun dari tingkat atas ke bawah. Muka dia nampak CERIA sangat. Senyum tak sudah! Saya tanya Makcik nak kemana?”
“Mona jawab dia nak pergi ‘shopping’!
Sebenarnya, dia dapat jumpa Affandi dipenjara sebelah, Sampai pusing di ‘corner’ bangunan, saya nampak dia toleh dekat saya dan tersenyum biarpun kedua tangannya bergari.
“Saya sendiri terlupa hari itu adalah hari Khamis, dimana banduan beragama Islam akan digantung pada pagi Jumaat. Itupun kawan saya yang juga baik dengan Mona beritahu, Mona dah nak digantung esok,”
“Saya terduduk dan menangis tak berhenti. Itulah kali terakhir saya jumpa Mona dan saya sampai sekarang tak dapat lupa senyuman dia.”
Jelas Sarjan Azizah, cerita-cerita mistik dilaporkan media hanyalah rekaan semata-mata.
“Kalau saya tahu dia akan digantung, tentu sekali perkara yang nak saya buat adalah memeluk Mona. Saya kenal siapa Mona Fandey. Saya terlalu rindukan dia,” katanya dan pada saat itu Azizah menitiskan air matanya.
Ujarnya, Mona tidak seperti banduan akhir yang lain.
KEIKHLASAN yang ada dalam diri Mona benar-benar dapat dirasai Azizah. Kenakalan Mona yang sering mengusik kakitangan penjara yang lemah semangat dan gemar mengatanya kadang kala membuatkan Azizah tersenyum sendirian tatkala teringatkan kenangannya menjaga sel akhir Mona.
Sehingga hari ini, Azizah tetap setia menyimpan kenangan manis bersama seorang wanita yang amat ‘digeruni’ rakyat Malaysia dan ‘kononnya’ pembunuh paling kejam di Malaysia.
Biarpun berstatus banduan akhir yang telah digantung, Mona tetap mempunyai ruang istimewa di hati Azizah dan dia percaya Allah lebih mengetahui dimana kedudukan yang selayaknya buat INSAN semurni Allahyarhamah Maznah Ismail.
Ternyata setiap manusia tidak terlepas dari membuat kesilapan sewaktu hidup. Bahkan, urusan pahala dan dosa bukanlah selayaknya diadili oleh MANUSIA lebih-lebih melibatkan aibnya sewaktu hidup.
Memetik kata Ustaz Abdul Rasyid yang sudah berpengalaman lebih tiga dekad mengendalikan hal ehwal agama banduan:
“Alhamdulillah, Mona mengucap dengan fasih siap dengan terjemahan sekali. Pada sayalah, dia tahu waktu dia nak mati. Balasan dunia dia dah terima. Dengan Tuhan, kalau Tuhan terima taubat dia, mungkin dia jauh lebih BAIK dari kita semua.” – Sumber Arkib Negara : Mona Fandey.
Apakah dengan tulisan ini mampu mengubah stigma anda pada wanita bernama Mona Fandey supaya diletakkan dalam ruang yang adil berdasarkan kebaikannya sewaktu hidup dahulu?
Atau anda lebih selesa untuk terus memahami ‘cakap-cakap’ orang mengenai kejadian yang berlaku kerana sudah dididik dengan ‘trend’ bahawa Mona Fandey adalah pembunuh paling kejam di Malaysia?
Anda pilih…..
Wahai hamba Allah, copy dan paste cerita benar ini, sekurang-kurangnya kita dapat memperbetulkan kembali fitnah dan kata-kata buruk terhadap beliau. Kerana kita tidak tahu “siapa” sebenarnya beliau, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui Manusia ini. Semoga Beliau di ampunkan dan ditempatkan disisi Allah. Aamiin-Aamiin-Aamiin Yaa Rabbal A’lamiin. Al-Fatihah.


Sumber :MegaChannel


Thank you for reading this entry :)