Ahad, 24 April 2016

Siapa Pengasas KFC yang sebenar, ramai yang tidak tahu ...baca selanjutnya...

Harland David Sanders- pengasas KFC !




Colonel Sanders – Nama dan wajah pakcik tua ini amat sekali dikenali di seluruh dunia. Patungnya saja boleh didapati duduk tersenyum di kerusi yang terletak di luar Restoran KFC yang berhampiran. Mungkin ramai yang keliru adakah beliau hanya seorang maskot kepada KFC ini sedangkan KFC sendiri juga mempunyai seorang/seekor maskot berbentuk ayam. Sebenarnya beliau adalah pencipta kepada resipi rahsia ayam goreng KFC, gabungan daripada 11 herba dan rempah ratus. Sejarah ringkas mengenai penglibatan beliau dalam KFC boleh dibaca di sini….

Colonel Harland David Sanders, yang lebih dikenali dengan nama Coloner Sanders, adalah pengasas Kentucky Fried Chicken (KFC). Gambar mukanya boleh didapati di kotak-kotak KFC dan merupakan satu cap dagangan kepada syarikat ini.

Beliau dilahirkan pada 9 September 1890 di Henryville, Indiana (USA). Merupakan anak sulung kepada lima beradik. Bapanya seorang pelombang arang batu meninggal dunia sewaktu beliau berusia 6 tahun. Oleh kerana ibunya bekerja untuk menyara keluarga, dia terpaksa memasak untuk ahli keluarganya yang lain. Semasa remaja, beliau telah melakukan banyak pekerjaan termasuk ahli bomba, pemandu kapal wap, penjual insuran, dan menjadi seorang prebet di Cuba.

Sewaktu berusia 40 tahun, Colonel Sanders menggoreng ayam di kedai makan kecilnya di Corbin, Kentucky. Dia tidak mempunyai restoran pada masa itu. Walaubagaimanapun, popularitinya meningkat dan dia berpindah ke sebuah restoran yang boleh menempatkan seramai 142 orang pelanggan dan bekerja sebagai chef.

Dalam tempoh 9 tahun kemudian, beliau telah memantapkan kaedah menggoreng ayam dengan 11 herba dan rempah rahsianya yang masih digunakan di rangkaian restoran KFC sehingga hari ini.

Pada mulanya, pelanggan terpaksa menunggu sehingga 30 minit untuk menikmati hidangan ayam mereka kerana ayam mereka masih digoreng dengan menggunakan kaedah konvensional. Kemudian, Colonel Sanders telah pergi menghadiri satu demonstrasi alat baru (pada tahun 1930) iaitu ‘pressure cooker’. Dalam demonstrasi itu, sayuran yang dimasak adalah enak dan dapat disiapkan dalam masa yang singkat. Ini telah mencurahkan idea kepada Colonel Sanders untuk mencuba alat itu dengan ayam.

Beliau telah membeli sebuah ‘pressure cooker’ dan membuat sedikit pengubahsuaian. Setelah banyak kali melakukan percubaan dengan masa, tekanan dan suhu memasak, beliau berjaya menyediakan ayam yang paling enak dan sedap yang tak pernah beliau sendiri rasakan – sehingga menjilat jari!
Pada tahun 1935, beliau dianugerahkan dengan gelaran ‘Kentucky Colonel’ oleh Gabenor Ruby Laffoon.
Pada awal tahun 50an, Colonel Sanders terpaksa menjual hartanah beliau untuk memberi laluan pembinaan lebuhraya Interstate 75. Ini menamatkan operasi perniagaan beliau dan terpaksa hidup dengan wang sara hidup sebanyak $105.

Berkeyakinan dengan kualiti ayam goreng beliau, Colonel Sanders memulakan francais ayam gorengnya pada tahun 1952. Beliau mengembara ke seluruh negara dengan keretanya dari sebuah restoran ke restoran lain, memasak sedikit ayam goreng untuk pemilik restoran dan para pekerjanya. Sekiranya disukai, beliau melakukan perjanjian dimana beliau akan mendapat bayaran sejumlah satu ‘nickel’ (5 sen Amerika) bagi setiap ayamnya yang dijual di restoran-restoran berkenaan. Bisnes kecilnya bertukar menjadi salah sebuah rangkaian makanan segera terbesar yang boleh didapati sekarang.

Colonel Sanders memindahkan ibu pejabat bisnes barunya ke Shelbyville, Kentucky dan dalam tahun 1964, beliau mempunyai lebih 600 rangkaian restorannya di Amerika dan Kanada. Dalam tahun ini juga beliau telah menjual hak milik beliau kepada sekumpulan pelabur dengan nilai $2 juta. Kemudian beliau bekerja sebagai jurucakap syarikat beliau sepanjang hayat beliau, dimana beliau muncul di dalam iklan televisyen di antara tahun 50an hingga ke tahun 70an.
Colonel Sanders meninggal dunia pada usia 90 tahun pada 16 Disember 1980 kerana menghidap penyakit leukimia, dan dikebumikan dengan pakaian suit putih dengan bow tie popularnya.
Bertahun lamanya, Colonel Sanders membawa resipi rahsia ayam KFC di dalam kepalanya dan campuran rempah ratus di dalam keretanya. Hari ini, resipi rahsia itu disimpan di dalam peti kebal di Louisville, Kentucky. Hanya beberapa orang sahaja yang tahu akan resipi bernilai jutaan Ringgit ini dan mereka telah pun menandatangani kontrak yang tertentu agar rahsia ini tidak bocor.



Thank you for reading this entry :0

Tiada ulasan:

Catat Ulasan