Khamis, 28 April 2016

Imam Mahdi palsu dipenjara. Baca lagi...

 Imam Mahdi palsu dipenjara!!




KUALA LUMPUR - Akibat mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi, seorang lelaki didenda RM4,900 dan dipenjara selama 24 bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Hakim Syarie Mohd Amran Md Zain menjatuhkan hukuman itu terhadap Mat Alimin Abdullah, 36, yang mengaku bersalah ketika pertuduhan mengikut Seksyen 6 Akta Jenayah Syariah Wilayah-wilayah Persekutuan 1997 kerana mengisytiharkan dirinya  Imam Mahadi.

Mengikut pertuduhan, Mat Alimin didakwa melakukan perbuatan itu dengan menyebut "Sekiranya saya benar (Imam Mahadi) sesiapa yang mempermainkan saya, mendustai saya, saya serah kepada ALLAH SWT sebab orang bercakap hari ini adalah Imam Al-Mahdi utusan ALLAH.

"Sekiranya saya benar, mereka akan dilaknat ALLAH. Ini janji Nabi Muhammad akhir zaman nanti akan keluar umatku namanya seperti namaku, berasal dari keturunanku, nama bapanya seperti bapaku datang dari arah timur, sedangkan pengisytiharan itu palsu," katanya.

Kesalahan yang membawa hukuman denda maksimum RM5000 atau penjara atau kedua-duanya itu didakwa dilakukan di bilik mesyuarat Pejabat Mufti, Menara Pusat Islam Kuala Lumpur antara jam 3 petang hingga 3.30 petang 26 April lalu.

Sementara itu berdasarkan fakta kes, tertuduh mendakwa dirinya mempunyai tanda-tanda sebagai Imam Mahdi seperti tertakluk dalam Al Quran selain mendakwa menerima wahyu secara langsung atau melalui Malaikat Jibrail.

Bekas pekerja sebuah syarikat percetakan itu juga mendakwa pernah bertemu malaikat Jibrail, israfil dan Mikail serta bermimpi bertemu Rasulullah dan akan mengisytiharkan diri kepada masyarakat pada 1 Syawal nanti.

Sementara itu dalam rayuannya, bapa kepada dua orang anak itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana dia berbuat demikian hanya untuk mencari dirinya yang sebenar.

"Niat saya hanya untuk mencari diri sendiri.

Saya tidak pernah lakukan ugutan jenayah malah saya bencikan keganasan," katanya.

Pendakwaan yang dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Zainur Rashid Hasin mencadangkan mahkamah memberikan hukuman penjara ke atas tertuduh sebagai pengajaran disamping memberi ruang kepada tertuduh mendapat panduan dan pemulihan untuk memperbaiki akidahnya.



Sumber :Sinar Harian


Thank you for reading this entry :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan