Semasa!! Masalah Air berlarutan sehingga Sept
Malaysia dijangka mengalami masalah bekalan air sehingga September berikutan cuaca panas yang dialami sekarang diramal berterusan sehingga tempoh itu, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau.
Beliau berkata walaupun cuaca panas dan kering akibat fenomena El-Nino dijangka berakhir pada Jun tetapi perubahan angin monsun Barat Daya yang menyebabkan cuaca panas akan bermula Mei hingga September.
"Perubahan angin monsun Barat Daya akan berlaku pada Mei hingga September ini, iaitu musim panas dan kering yang dialami setiap tahun. Selepas itu hingga hujung tahun barulah beralih kepada musim tengkujuh," katanya.
Cuaca panas dan kering serta perubahan angin monsun itu akan menyebabkan takungan air di empangan seluruh negara semakin menyusut dan kritikal, katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan program inovasi pendidikan di Pusat Kegiatan Guru Tamparuli, di Tuaran semalam.
Untuk itu, katanya operasi pembenihan awan sedang giat dijalankan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi menghasilkan hujan di kawasan empangan termasuk di Perlis, Kedah, Perak, Johor dan Sabah.
Madius berkata operasi pembenihan awan itu akan dilakukan setiap hari sekiranya tiada masalah teknikal berlaku.
"Operasi itu dibuat bagi memastikan air di empangan mencukupi agar bekalan dapat disalurkan secara berterusan (sepanjang cuaca panas dan kering).
"Justeru, operasi itu akan diteruskan sehingga matlamat tercapai dan bekalan air di empangan berada pada paras selamat," katanya.
Sumber : Bernama (https://www.malaysiakini.com)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan