Civil War beri kepuasan kepada penonton
SELEPAS pertemuan semula Soldier Bucky Barnes/Winter Soldier (Sebastian Stan) dan Steve Rogers/Captain America (Chris Evans) dalam filem Captain America: The Winter Soldier, kisah mereka diteruskan di dalam Captain America: The Civil War.
Bukan itu sahaja, dalam filem ini menyaksikan konflik dan kemelut dalaman melibatkan The Avengers selepas misi Captain Amerika di Lagos, Nigeria telah menyebabkan kematian ramai orang awam.
Disebabkan tragedi ini dan peperangan Avengers sebelum ini, United Nations telah bersepakat untuk menolak The Avengers. Semuanya berhubung kait dengan pertembungan The Avengers sebelum ini antaranya bersama Ultron, Loki dan kemusnahan ketika Captain America menumpaskan Hydra. Semua peperangan ini menyebabkan ramai orang awam terkorban.
Satu resolusi telah dibuat oleh United Nations untuk mengehadkan kuasa The Avengers kerana pemimpin-pemimpin dunia berpendapat The Avengers adalah punca terjadinya segala perang sebelum ini.
Resolusi itu memerlukan setiap ahli The Avengers bersetuju untuk mengehadkan misi mereka di seluruh dunia dan hanya boleh bertindak jika dipersetujui oleh United Nations.
Di sinilah konflik bermula apabila Captain America tidak bersetuju dengan perjanjian itu tetapi Tony Stark/Iron Man merasakan perjanjian itu adalah yang terbaik untuk The Avengers.
Konflik ini menjadi lebih personal apabila ia melibatkan prinsip, tanggungjawab dan nilai persahabatan.
Captain America ingin menyelamatkan rakan baiknya, Bucky/Winter Soldier yang menjadi sasaran United Nations apabila dia dijadikan kambing hitam dalam satu serangan di pejabat United Nations.
Dan konflik demi konflik inilah yang membentuk dua kumpulan iaitu team Captain dan team Ironman yang menyaksikan pertembungan sebenar adiwira.
Pada pandangan penulis, filem ini menebus kekecewaan ramai terhadap filem Batman v Superman: Dawn of Justice.
Biarpun permulaan cerita ini agak perlahan, namun dari awal babak lagi, kita sudah dihidangkan dengan babak aksi yang ringan dan disulam dengan konflik demi konflik yang meregangkan The Avengers.
Walaupun tanpa Thor dan Hulk, filem ini tidak nampak cacat celanya dan ia memberi kepuasan tersendiri kepada penonton.
Pastinya dengan kehadiran Spider-Man dan Black Panther menambahkan lagi 'kemeriahan' filem ini.
Lakonan mantap semua pelakon dan terlibat serta kebijaksanaan pengarah bersaudara, Joe dan Anthony Russo membahagikan setiap karakter dalam durasi lebih dua jam mencantikkan lagi filem ini.
Tidak perlu rasanya mengusik mengenai bab CGI (imej janaan komputer) kerana mereka memang arif dengan teknologi ini, dan bab-bab teknikal lain juga tidak nampak segala cacat dan celanya.
Sumber :Sinar Harian
Thank you for reading this entry :)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan