Rabu, 27 April 2016

Graduan perlu sedar dan insaf!! Apa sebabnya? baca lagi....

Graduan digesa menabur bakti dan berjasa .


KUANTAN – Semua graduan digesa supaya memupuk kesedaran dan keinsafan tinggi untuk kembali menabur bakti demi manfaat masyarakat.

Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, keteguhan peribadi dan ketulenan jati diri seseorang graduan adalah hasil asuhan baik sejak kecil.



Menurutnya, justeru hari ini graduan pula perlu menabur budi dan berjasa dengan memastikan kehadiran mereka memberi manfaat kepada masyarakat.

“Semua ibu bapa merasa bangga dan bersyukur melihat kejayaan anak mereka dalam pelajaran dan rasa syukur itu adalah cerminan terhadap usaha serta keringat dicurahkan bagi membesarkan anak sehingga bergelar graduan.

“Dengan bekalan asuhan nilai diri di rumah, ditambah pendidikan formal di sekolah dan universiti, maka graduan perlu mempunyai kesedaran serta keinsafan tinggi untuk kembali berbudi.” katanya dalam ucapan sempena  Majlis Konvokesyen ke 9 UMP, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Datuk Mohd Hilmey Mohd Taib dan Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Daing Nasir Ismail.

Tengku Abdullah berkata, konvokesyen UMP adalah satu manifestasi kecemerlangan lestari universiti berkenaan yang kini sudah mencapai usia 12 tahun penubuhannya.

“Pengiktirafan diberi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang mengiktiraf UMP sebagai universiti terbaik di Asia pastinya berkait rapat dengan keunikan struktur pengajian kejuruteraan dan teknologi di universiti ini,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan itu dicapai hasil kebijaksanaan kepimpinan pihak pengurusan, kewibawaan tenaga akademik dan pentadbir selain kesedaran tinggi mahasiswa UMP terhadap tanggung jawab serta kewajipan mereka.

“Kejayaan dicapai pada hari ini adalah  cabaran kepada UMP untuk terus  mengekalkan kecemerlangan itu kerana untuk mengekalkannya adalah lebih sukar  daripada menciptanya.

“Kejayaan sesebuah organisasi seperti UMP ini tentunya menuntut pembabitan semua warga UMP sama ada kakitangan dan mahasiswa untuk bersama-sama menggembleng usaha mencipta kejayaan,” katanya.

Sempena konvokesyen ini, dua graduan, Mohd Fathil Mohd Ismail, 23, dan J Saravanan, 24, dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) dianugerahkan Anugerah Pingat Diraja (Pingat Diraja Cemerlang).

Penerima anugerah lain termasuk, Mohd Sadam Hassan (Anugerah Canselor), Loh Yean Chun (Anugerah Naib Canselor), Huong Pei Zam dan Tan Shu Mei (Anugerah Emas Universiti), Rahimah Embong (Anugerah Kecemerlangan Yayasan Pahang) dan Mohd Azrulnizam Suna Abdullah (Hadiah Kecemerlangan HeiTech).

Seramai 2,493 graduan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima ijazah dan diploma sempena konvokesyen itu yang berlangsung tiga.



Sumber : Sinar Harian (12 Oktober 2014)


Thank you for reading this entry :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan