APABILA membicarakan soal ekonomi semasa, sudah tentu ramai yang akan bertanyakan prospek nilai mata wang ringgit. Perkara ini berikutan nilai ringgit telah pun mencatatkan prestasi yang memberangsangkan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), khususnya sejak Januari lalu. Untuk rekod, nilai ringgit mencatatkan peningkatan sebanyak 10.4 peratus berbanding nilai mata wang AS dan ia adalah prestasi yang terbaik dikalangan mata wang Asia lain pada suku pertama tahun ini.
Selain itu, ringgit juga meningkat sebanyak 5.0 peratus berbanding nilai dolar Singapura dan mencatatkan prestasi yang terbaik di negara Asia berbanding mata wang republik itu yang dianggap sebagai pusat kewangan Asia Tenggara. Oleh yang demikian, ramai yang bertanyakan kepada penulis tentang prospek nilai ringgit pada tahun ini. Pada hemat saya, mungkin ramai yang bercadang-cadang untuk bercuti keluar negara. Tidak kurang juga yang ingin membeli barangan import. Sudah pasti kenaikan nilai ringgit ini dapat mengurangkan kos percutian bagi mereka yang berhajat untuk melancong ke negara rantau Asia malahan ke Eropah memandangkan mata wang ringgit kian mengukuh berbanding pound dan euro.
Justeru, sebagai warga Malaysia yang rasional, kita seharusnya perlu bertanyakan apakah faktor-faktor yang menyumbang ke arah pengukuhan nilai ringgit berbanding mata wang asing ini. Persoalan ini adalah sesuatu yang amat relevan memandangkan mata wang ringgit telah pun mencatatkan kemerosotan yang mendadak pada tahun lalu. Ringgit juga mencatatkan prestasi terendah di kalangan mata wang asing di Asia berbanding dolar AS iaitu sebanyak 18 peratus. Perubahan dari tempat yang tercorot kepada tempat yang pertama dari sudut perubahan kadar tukaran ringgit seharusnya menjadi tanda tanya bagi mereka yang prihatin terhadap perkembangan semasa. Sehubungan dengan itu, perbincangan mengenai perubahan nilai ringgit boleh dibahagikan kepada dua perkara iaitu faktor luaran dan faktor dalaman.
Antara faktor-faktor luaran yang sering diperkatakan adalah kadar faedah di AS, perkembangan ekonomi negara China dan harga minyak dunia. Ketiga-tiga faktor ini mampu untuk mengubah arah aliran modal antarabangsa terutamanya aliran pelaburan portfolio. Perkara ini berikutan pengurus dana asing yang sentiasa mencari peluang untuk mengoptimumkan pulangan pelaburan yang dijana melalui pelaburan di dalam pasaran wang dan pasaran modal seperti bon dan ekuiti. Di samping itu, pulangan pelaburan yang dijana melalui perubahan matawang juga memberi sumbangan yang signifikan terhadap pulangan pelaburan portoflio mereka secara keseluruhan. Berdasarkan statistik terkini, pemilikan asing di dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM) meningkat kepada 48.7 peratus setakat bulan Mac tahun ini. Angka ini jauh lebih tinggi jika dibandingkan pada bulan yang sama tahun lepas iaitu 45.7 peratus.
Begitu juga dengan penyertaan pelabur institusi asing di dalam pasaran ekuiti yang mana purata penyertaan pada suku pertama tahun ini adalah 27.7 peratus berbanding 25.8 peratus pada suku keempat tahun lalu. Faktor dalaman pula berkait rapat dengan kemampanan ekonomi domestik iaitu dari sudut pengurusan makro ekonomi seperti dasar fiskal dan dasar monetari. Kedua-dua dasar ini akan menentukan hala tuju permintaan aggregat sesebuah negara yang seharusnya dapat mensejahterakan kehidupan rakyat melalui pengwujudan peluang-peluang pekerjaan serta peningkatan di dalam tingkat pendapatan boleh guna.
Penulis ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd.
Beliau boleh dihubungi menerusi e-mel: afzanizam@bankislam.com.my
Selanjutnya : http://www.bharian.com.my/
Thank you for reading this entry :)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan