Sabtu, 30 April 2016

Mom's Laksa Pengusaha Laksa Sarawak terbaik di Sarawak !!! Baca lagi...

Mom's Laksa pengusaha Laksa Sarawak terbaik di SARAWAK!!!





BERMULA secara kecil-kecilan sejak 20 tahun lalu, kini Mom’s Laksa antara restoran popular yang menyajikan menu Laksa Sarawak resipi ibu bagi peminatnya khusus di bandar raya Kuching.
Dengan menjadikan Kompleks Mahkamah Lama (Kompleks Pelancongan), Kuching sebagai lokasi gerai pertamanya, Mom’s Laksa kini mempunyai lima cawangan di sekitar bandar raya ini.
Perniagaan yang pernah menyediakan perkhidmatan penghantaran Laksa Sarawak dari pejabat ke pejabat ini turut menjadi bukti bahawa perniagaan yang diusahakan masyarakat Melayu ini dapat terus berkembang.
Semuanya hasil gigih pengasasnya Hadiah Yak, 65, yang tidak pernah mengenal erti penat lelah dan putus asa untuk memastikan perniagaannya itu terus bertahan malah maju seperti hari ini.
Kini, perniagaan itu diteruskan oleh dua daripada enam orang anaknya yang berjaya menjadikan Mom’s Laksa sebagai lokasi persinggahan wajib masyarakat tempatan bahkan juga pengunjung luar yang melancong ke sini untuk menikmati hidangan Laksa Sarawak yang tidak menjemukan.
Meskipun wujud budaya persaingan sihat di kalangan pengusaha berbilang kaum dalam industri makanan dan minuman di sini, ia tidak menjadi faktor penghalang kepada Hadiah untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan itu sekali gus membayar segala penat lelah yang pernah dirasai suatu ketika dahulu.


Anak lelaki Hadiah, Rizal Jamali, 37, menyambung kudrat ibunya dalam mengusahakan Mom’s Laksa yang terletak di Jalan Astana sambil turut dibantu oleh isterinya, Suhaida Sahdan, 38.
Rizal berkata, perniagaan yang diwarisi daripada ibunya itu harus diabadikan dalam bentuk penghargaan dan diteruskan oleh anak-anak.
“Kami tidak mahu perniagaan ini terkubur begitu sahaja kerana ia merupakan hasil titik peluh ibu bapa kami yang bermula dari titik sifar lagi.
“Memandangkan kini mereka masing-masing telah tua, kudrat mereka seharusnya disambung oleh kami sebagai anak yang sememangnya berhasrat untuk mengetengahkan industri perniagaan ini ke pasaran yang lebih tinggi,” katanya kepada Utusan Borneo.
Suhaida menambah, Mom’s Laksa kini mempunyai lima cawangan di sekitar bandar raya Kuching merangkumi Jalan Merdeka, Jalan Astana, Matang, Gita dan Was Corner (gerai sewa) yang diusahakan sendiri oleh adik beradik Rizal termasuk adiknya, Mastika Jamali, 26, yang mengusahakan cawangan di Jalan Astana.
Selain itu, ujarnya hubungan baik dan erat sesama adik beradik menjadikan perniagaan itu kini lebih berjaya dan laris serta terkenal di seluruh bandar raya.
“Resipi kejayaan kami sangat mudah. Pertama sekali ialah niat yang ikhlas dalam menghidangkan makanan terbaik kepada pelanggan dan yang kedua hubungan erat antara adik beradik dengan ibu dan bapa.
“Meskipun perniagaan ini bermula dari gerai kecil-kecilan, kami rasakan ia patut diteruskan dalam usaha untuk menghargai resipi warisan turun temurun oleh ibu bapa kami,” katanya.




Thank you for reding this entry :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan